Amy Tukar Sekolah Kerana Dicium....?

udah menjadi kelaziman bagi setiap kanak-kanak yang berusia 6 tahun keatas akan dihantar oleh ibu bapa mereka ke tadika. Pendidikan masa itu biasanya untuk memberi kebiasaan kepada kanak-kanak  apabila berdepan dengan suasana sebenar sekolah rendah ketika usia menjangkau 7 tahun. Begitu juga dengan Amy Mastura. Ketika berusia 6 tahun lagi, Amy sudah dihantar oleh ibu bapanya ke sekolah tadika aliran Cina. Kerana ibu bapanya mahukan anak kesayangan mereka mengusai bahasa-bahasa lain daripada Bahasa Melayu. Malangnya ,kata Amy dia tidak dapat mengigati nama sekolah tadika aliran Cina itu kerana Amy hanya sempat belajar selama 2 bulan sahaja sebelum ditukarkan ke sekolah Convent.  Menurut Amy, ibu bapanya terpaksa menukarkan sekolah tadikanya kerana Amy merasa sukar untuk mengusai bahasa Cina selain daripada peristiwa-peristiwa lucu yang sukar untuk dilupakannya.
    Seingat Amy, perkara lucu yang masih lagi bermain difikirannya ialah ada seorang murid India lelaki yang sering memerhatikan gerak-geri Amy setiap kali dia ke sekolah. Dari sehari ke sehari teman sebayanya itu menantinya di hadapan pintu sekolah.  Bagaimanapun, entah macamana suatu hari dia datang menerpa ke arah Amy dan mencium muka Amy. Terkejut besar kerana berasa amat takut lantas menangis dan tidak mahu ke sekolah itu lagi. Berikutan peristiwa itulah , Amy ditukarkan ke tadika Convent yang letaknya tidak jauh dari rumahnya. Semasa di sekolah inilah Amy mula menjadi seorang yang aktif dan peramah. Dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan sering menyertai kegiatan seni yang dianjurkan di sekolah. Kata Amy, dia juga sering terpilih di dalam koir sekolah dan pantang ada sahaja kegiatan seni, dia antara mula-mula ke depan untuk mengambil bahagian. Selepas tamat pengajian di sekolah tadika itu, bermulalah satu lagi diari baru dalam hidup Amy apabila memulakan persekolahan di Sekolah rendah Convent, Ipoh pada tahun 1978.
    Sifatnya suka ke depan dan aktif menyertai aktiviti-aktiviti sekolah terbawa-bawa hingga ke sekolah rendah, Amy banyak menunjukkan minat belajar dalam pertunjukan pentas, nyanyian dan sebagainya. Bagaimanapun dia tidak melupakan pelajaran, hinggakan seringkali menerima keputusan yang baik dalam peperiksaan. Barangkali minat belajar ini timbul dalam dirinya apabila melihat abangnya, Effendy yang begitu bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan terpilih pula ke Maktab Tentera DiRaja Sungai Besi. Mungkin juga kerana jarak usia antara Amy dan Effendy agak jauh iaitu lapan tahun Amy banyak belajar daripada kejayaan abangnya.
    Selain itu, bapa Amy juga seorang yang mementingkan soal pelajaran anak-anaknya, kerana beliau mahu melihat anak-anaknya mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Bagaimanapun sudah menjadi darah daging Amy sendri selain aktif dalam menyanyi dan pertunjukan pentas, beliau juga aktif dalam sukan di padang. Semasa menduduki darjah 2, Amy antara atlet yang menjadi pilihan darjahnya. Kejayaan itu banyak dibantu kerana tubuh badannya yang tinggi lampai. Kerana itu juga Amy menjadi jaguh pilihan untuk untuk sukan lompat tinggi, lompat jauh dan lumba lari. Selain itu, dia juga mahir dalam permainan bola jaring dan badminton.  Amy juga pernah mewakili sekolahnya dalam beberapa pertandingan sukan di peringkat daerah. Namun ketegasan ayahnya dalam pendidikan memberi peluang kepada Amy mendapat 5A dalam peperiksaan darjah limanya. Namun Amy juga punya satu tabiat yang sukar dilupakannya sehingga kini. Tabiat itu seringkali muncul setiap kali menjelangnya hari peperiksaan iaitu takut untuk menghadapi peperiksaan. Tidak kira sama ada ujian penggal atau akhir tahun. Malah pernah beberapa kali  ke bilik air beberapa minit sebelum sebelum ujian bermula, ianya kerana takutkan ujian yang akan dihadapinya.
    Perkara ini terbawa-bawa hingga ke darjah 2. Semasa di sekolah rendah Amy juga mempunyai seorang teman baik bernama Lilian yang menjadi teman sejati Amy. Hubungan yang baik ini tidak hanya semasa mereka di alam persekolahan sahaja sebaliknya terus berpanjangan sehingga ke hari ini. Kerana percaya kepada Lilian, Amy telah melantik Lilian sebagai pengurus peribadinya yang turut bertindak menjaga segala urusan berkaitan dengan pertunjukannya.
    Amy dan Lilian sentiasa tidak boleh dipisahkan. Kemana sahaja mereka pergi pasti bersama. Begitulah akrabnya mereka berdua. Dalam pada itu sifat Amy yang aktif bukan setakat di sekolah tetapi dia juga aktif di rumah. Amy punya ramai kawan bermain semasa di rumah. Tetapi pergerakannya sentiasa diawasi oleh ibunya yang sering berada di sisinya setiap kali Amy keluar bermain pada waktu petang.
    Kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu dan bapanya kepada dia dan abangnya cukup ketara kerana hanya kedua mereka menjadi penyeri dalam rumah tangga mereka. Amy juga tidak menafikan sehingga ke hari ini hubungan Amy dengan ibubapa serta abangnya cukup mesra. Malah kalau sesekali berjumpa, keadaan akan menjadi riuh kerana ada sahaja telatah lucu yang akan keluar dari mulut mereka.


Previous / Back Next / Then